/
Sempena ketibaan Hari Raya Aidiladha yang penuh keberkatan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru seluruh umat Islam, khususnya warga Parlimen Parit yang saya kasihi, untuk sama-sama menghayati erti ibadah korban dengan lebih mendalam dalam mendepani realiti sosioekonomi semasa.
Saya percaya bahawa ibadah korban yang kita laksanakan saban tahun bukan sekadar ritual menyembelih haiwan ternakan.
Sebaliknya, ia adalah simbolik kepada ketaatan mutlak Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS kepada perintah Allah SWT yang perlu kita terjemahkan dalam kehidupan seharian.
Melihat kepada tuntutan korban dalam konteks hari ini, saya ingin menekankan bahawa konsep pengorbanan perlu diperluaskan bagi mendepani cabaran kos sara hidup dan dinamika ekonomi semasa
Di saat sebahagian daripada masyarakat kita masih bergelut dengan tekanan ekonomi, saya melihat agihan daging korban sebagai jambatan kasih sayang yang amat ampuh.
Ini adalah peluang terbaik untuk kita memastikan tiada golongan miskin dan memerlukan yang terpinggir daripada merasai kegembiraan perayaan.
Bagi saya, konteks korban hari ini juga menuntut kita mengorbankan kepentingan peribadi demi maslahat (kebaikan) ummah.
Kita perlu bersedia mengorbankan masa dan tenaga dalam menjayakan aktiviti kemasyarakatan, serta mengorbankan ego atau perbezaan pendapat demi menjaga perpaduan komuniti kita.
Sebagaimana Nabi Ibrahim AS diuji dengan ujian yang berat, saya menyeru agar kita semua kental jiwa, berdisiplin dalam pengurusan hidup dan sentiasa bersangka baik dengan takdir Allah SWT di samping terus berusaha mengubah nasib diri dan keluarga.
Akhir kata, saya dengan penuh rasa tulus ikhlas mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh warga Parit dan seluruh umat Islam di Malaysia.
Saya juga sentiasa mendoakan agar para jemaah haji kita yang sedang berada di Tanah Suci mendapat haji yang mabrur dan pulang ke tanah air dengan selamat.
Bagi mereka yang sedang dan akan pulang ke kampung halaman, saya nasihatkan agar sentiasa berhati-hati di jalan raya dan utamakan keselamatan keluarga tercinta.
YB USTAZ MUHAMMAD ISMI BIN MAT TAIB
Ahli Parlimen Parit
25 Mei 2026
“Kukuhkan Ukhuwah Eratkan Persaudaraan”
LIKE | FOLLOW | SHARE
